KUALA LUMPUR: Ketika ketua juri Anugerah Juara Lagu ke 25 (AJL25) M.Nasir mempertahankan keputusannya memilih lagu Tolong Ingatkan Aku  nyanyian Ana Rafalli sebagai pemenang pertandingan itu, salah seorang  panel juri melihat keputusan berkenaan sebagai kurang tepat.
Komposer Azmeer berkata, dia sama sekali tidak bersetuju dengan  keputusan itu dan secara tidak langsung menandakan Ana Raffali tidak  layak untuk diangkat sebagai pemenang.
“Secara jujurnya saya tidak bersetuju dengan kemenangan itu. Siapakah  artis yang saya rasa layak menjadi pemenang biarlah saya rahsiakan dulu  buat sementara waktu,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini Isnin.
Dalam AJL25 malam Ahad lalu, Ana Rafali yang turut mencipta dan menulis lirik lagu  Tolong Ingatkan Aku diumumkan sebagai juara AJL25 yang melayakkannya menerima wang tunai RM35,000.
Kemenangan itu menimbulkan perdebatan sehingga ramai penonton di  stadium meninggalkan kerusi masing-masing sebaik sahaja keputusan  diumumkan.
Ketika diminta mengulas kenapa lagu berkenaan tidak boleh diangkat  sebagai juara, Azmeer enggan memberi sebarang komen sehinggalah apabila  dia mendengar pendapat M.Nasir dalam Imbasan AJL25 pada malam Selasa  (malam ini).
Sorotan mengenai pertandingan berkenaan akan disiarkan secara langsung menerusi TV3 pukul 11 malam.
Selain M.Nasir dan Azmeer, juri kali ini terdiri daripada Habsah Hassan, Acis, Pacai, Amy (Search) dan Andy (Flop Poppy).
Penyanyi Amy Search pula berkata, dia hanya terlibat menilai dari aspek vokal dan bukannya melibatkan lagu yang dipertandingkan.
Bagaimanapun secara peribadi Amy turut terkejut dengan keputusan itu  kerana dia lebih mengharapkan penyanyi Yuna yang membawa lagu   Cinta Sempurna  diangkat sebagai juara dengan alasan lagu berkenaan  menusuk hati.
Bersifat jujur - M.Nasir
Sementara itu M.Nasir pula berkata lagu nyanyian  Ana Raffali itu bersifat sensitif, peribadi dan jujur.
“Lagu itu mempunyai rasa. Itu yang penting dan yang kita cari  sebenarnya. Sama ada betul atau salah, keputusan itu dibuat dengan penuh  kesedaran, penuh pengetahuan muzik, cita rasa dan pembaharuan.
“Lagu ini dikategorikan sebagai lagu terbaik tetapi mungkin penonton  rasa lagu ini tidak ‘besar’. Saya melihat kepada kekuatan lirik dan  lagunya. Ada kebanyakan lagu yang lemah pada lirik atau lagu dan  kedua-duanya,” kata M. Nasir pada sidang media selepas acara itu di  Stadium Putra, Bukit Jalil di sini, malam Ahad lalu.
Biarpun keputusan sudah dilakukan, M. Nasir sedar pasti ada pihak yang akan membuat pertikaian.
“Saya suka pesona melodi dan kejujuran lagu ini berbanding lagu lain.  Lirik lagu Tolong Ingatkan Aku lain dari yang lain dan bagus.
“Sebagai ketua juri, saya memilih lagu dan lirik yang bagus dan bukan yang popular,” ujarnya lagi.
Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad,  Datuk Seri Farid Ridzuan yang ditemui berkata, pihaknya tidak  bertanggungjawab terhadap keputusan yang dibuat  kerana segala-galanya  adalah terletak di tangan juri.
“Semua kena tanya M.Nasir," katanya
 
 

1 comment:
bab lirik tuh aku mmg stuju sgt2 ngan m.nasir..ade kekuatan di situ
Post a Comment