Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) Datuk Freddie Fernandez menganggap kenyataan yang dikeluarkan oleh penyanyi yang popular dengan lagu Dingin itu merupakan pandangan peribadi yang keterlaluan.
Katanya, dia seharusnya memikirkan kepentingan artis-artis lain yang tidak sepertinya dan tidak hanya berfikir bagi pihak diri sendiri sahaja.
"Itu adalah pandangan peribadi dia, mungkin kerana dia tidak mengalami sebarang masalah atau memerlukan bantuan daripada mana-mana persatuan sepanjang bergelar artis.
"Memang saya lihat segelintir artis yang bertaraf tinggi seperti dia tidak menghiraukan tentang kegiatan persatuan. Itu adalah hak mereka tapi mereka tidak seharusnya membuat kenyataan keterlaluan dan meminta persatuan dibubarkan," ujarnya kesal.
Kata Freddie, biarpun usaha-usaha yang dilakukan tidak memberi impak atau terlihat dengan mata kasar, namun sedikit sebanyak membantu para artis yang memerlukan.
"Kami tahu ramai yang tidak sedar tentang apa yang telah kami lakukan tapi sebenarnya kesan usaha kami dilihat dalam jangka masa panjang.
"Contohnya memperjuangkan royalti artis, mengurangkan pemutaran lagu-lagu Indonesia di stesen-stesen radio dan memberi bantuan kewangan kepada artis-artis yang memerlukan," jelasnya.
Kata Freddie disebabkan pandangan-pandangan dan persepsi artis sebegini boleh mempengaruhi golongan artis muda yang lain.
"Persatuan wujud sebagai orang tengah dan tempat untuk artis bergantung, jika dia tidak memerlukan bantuan persatuan masih ada artis lain yang menyokong kami," katanya.
No comments:
Post a Comment